Berdasarkan kajian yang
telah kami jalankan, kami telah memilih untuk menulis biografi tentang Tan Sri
Dato’ Loh Boon Siew sebagai salah seorang tokoh usahawan yang berjaya.
Loh Boon Siew berasal dari
Kampung Hui, sebuah kampung yang terletak dalam daerah Fukian yang merupakan
wilayah yang paling miskin di China suatu masa dahulu.Loh Boon Siew pada suatu
ketika dahulu hanyalah seorang rakyat China yang biasa yang lahir dalam taraf
hidup keluarga yang sangat miskin.Taraf hidup keluarga Loh Boon Siew yang
sedemikian telah menjadi faktor beliau tidak dapat mengikuti pembelajaran di
sekolah.Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew telah menghembuskan nafas terakhir beliau
pada tahun 1995.
Menyelami dunia pekerjaan,
beliau telah melibatkan diri dengan pekerjaan sejak di usia kanak-kanak lagi.
Sejak kecil beliau memulakan pekerjaan dengan mengutip najis-najis haiwan untuk
dijadikan baja pertanian. Dalam masa yang sama beliau juga memancing ikan untuk
dijual dengan tujuan untuk mencari sumber pendapatan tambahan. Pada usia 12
tahun, Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew mengikut ayahnya ke Pulau Pinang untuk
mencari sumber pekerjaan yang baru.Beliau telah disuruh oleh ayahnya untuk
bekerja sebagai seorang mekanik.Sebelah malam pula beliau mengambil upah dengan
membasuh bas dan diberi upah 10 sen untuk setiap bas. Matlamat beliau bersama
ayahnya pada ketika itu hanyalah mencari pendapatan lebih untuk dihantar ke
China untuk menampung keluarga di sana.
Minat Tan Sri dalam bidang
keusahawanan bermula apabila pada usia 18 tahun beliau telah mengimpikan untuk
memiliki sebuah perniagaan sendiri. Memulakan perniagaan, beliau telah membeli
peralatan mekanik dengan modal RM 10 dan 8 buah bas dengan harga RM
200.Peralatan mekanik tersebut adalah untuk kegunaan beliau sendiri manakala
bas yang dibeli adalah untuk dijadikan sebagai bas penumpang.Hal ini demikian
supaya dengan pendapatan daripada bas penumpang tersebut mampu menambahkan lagi
sumber pendapatan beliau sekeluarga. Bas-bas tersebut akan dibaiki oleh beliau
sendiri sekiranya mengalami sebarang kerosakan.
Dalam tempoh tujuh tahun,
perniagaan Tan Sri Loh Boon Siew telah berkembang dan beliau telah memiliki
sebanyak 40 buah bas.Beliau juga telah membuka kedai alat ganti kenderaan dan
kedai bateri.Oleh sebab beliau jenis bukan yang mudah berpuas hati dengan
kejayaan yang ada, beliau telah meluaskan perniagaan dengan membuka kedai
kereta terpakai dan menjadi agen pengedar kenderaan keluaran British.
Antara ciri usahawan yang
dimiliki oleh Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew adalah berorientasikan peluang. Pada
tahun 1958,apabila ada rezeki lebih beliau telah ke Osaka, Jepun untuk bercuti
dan rehat minda. Namun hari cuti beliau tidak dihabiskan dengan sia-sia, beliau
masih lagi melihat peluang perniagaan di sana. Beliau telah ternampak sebuah
motosikal Jepun digunakan oleh masyarakat di sana dan ada peluang untuk
memperkenalkan kenderaan tersebut di Malaysia. Tanpa melepaskan peluang yang
sedang menunggu, beliau telah memesan 12
unit motosikal Honda untuk dibawa ke Malaysia. Pada mulanya beliau hanya
menjual motosikal tersebut kepada kenalan rapat sahaja tanpa mengambil sebarang
untung.Pada tahun 1963 motosikal Honda mula diperkenalkan secara besar-besaran
di Malaysia.Dengan ciri orientasi peluang ini telah mampu menjadikan beliau
seorang tokoh usahawan berjaya dan dikenali sebagai seorang yang terkaya di
Pulau Pinang.
Ciri kedua ialah sanggup mengambil
risiko dalam dunia perniagaan.Sebelum motosikal Honda diperkenalkan secara
besar-besaran, usaha beliau untuk memperkenalkan kenderaan berjenama Honda ini
turut mendapat tentangan yang hebat oleh rakyat Malaysia. Rakan-rakan beliau
berpendapat bahawa perniagaan kenderaan Honda ini akan menanggung risiko untuk
dijual di Malaysia. Namun berkat semangat juang Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew,
beliau meneruskan juga kemahuan beliau untuk memperkenalkan kenderaan
tersebut.Bagi beliau setiap perkara yang dilakukan mempunyai risiko yang
tersendiri yang perlu dihadapi oleh setiap individu.
Tan Sri juga mempunyai ciri berpandangan
terbuka dalam sesuatu bidang yang di ceburi.Sebagai contoh beliau sanggup
mencuba pelbagai jenis keusahawanan demi memperoleh pendapatan. Bagi beliau
setiap perkara mesti ada percubaan dan percubaan itulah yang akan membimbing
kita ke arah kejayaan. Buktinya beliau sanggup mencuba banyak pekerjaan sejak
dari kecil lagi.Percubaan tersebut jugalah yang telah membawa beliau kepada
kejayaan hari ini. Tan Sri juga sentiasa berfikiran positif dalam setiap sudut
perkara contohnya beliau berasa dengan langkah beliau menjadi pengedar tunggal
kenderaan Honda akan memberikan keuntungan yang luar biasa kerana belum pernah
ada mana-mana individu yang melakukan perkara tersebut di Malaysia.
Seterusnya, Tan Sri Dato’
Loh Boon Siew merupakan seorang ahli usahawan yang mempunyai sikap peka atau
rajin membuat pemerhatian terhadap semua benda yang berlaku di sekeliling
beliau. Ciri ini jelas kelihatan pada titik permulaan beliau ingin memulakan
perniagaan kenderaan Honda ketika bercuti di Osaka,Jepun. Sikap prihatin beliau
terhadap penggunaan motosikal Honda di sana telah menimbulkan idea untuk
membawa budaya tersebut ke Malaysia. Hasilnya rakyat Malaysia telah mengenali
dan menggunakan motosikal tersebut bermula pada awal diperkenalkan sehinggalah
sekarang.Semua ini adalah disebabkan sikap beliau yang sentiasa peka dan
pemerhatian yang beliau lakukan ketika bercuti.
Ciri terakhir adalah sikap
proaktif Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew telah menyebabkan beliau menimba kejayaan
yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak lagi.Sikap proaktif ini dapat
dilihat ketika beliau melihat peluang untuk membawa kenderaan jenama Honda ke
Malaysia.Ketika beliau melihat penggunaan kenderaan jenama tersebut beliau
terus mengambil tindakan dengan memesan 12 unit kenderaan itu untuk
diperkenalkan dalam kalangan rakan-rakan beliau sebagai permulaan keusahawanan
beliau dalam bidang tersebut.Hasilnya sangat memberansangkan apabila
rakan-rakan beliau menyukai tindakan beliau itu. Sikap proaktif ini telah
berjaya membuat Tan Sri untuk memperoleh kejayaan yang boleh dijadikan iktibar
oleh setiap usahawan lain.
Kesimpulannya, impian setiap
individu untuk menjadi usahawan berjaya mampu tercapai sekiranya ada keberanian
dan kesungguhan dalam memulakannya.Ciri-ciri yang ada pada Tan Sri Dato’ Loh
Boon Siew ini boleh dijadikan iktibar dan dijadikan pembimbing untuk usahawan
baru untuk memastikan kejayaan milik mereka.Tuntasnya tidak ada kejayaan jika
tidak dimulakan dengan percubaan dan keberanian sebagaimana telah dilakukan
oleh tokoh usahawan negara kita iaitu Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew.